Monday, 6 August 2012

Petua Rambut Cantik....

Rambut Sihat Dalam Balutan Hijab

Berhijab bukanlah alasan untuk anda mengabaikan penjagaan rambut. Apatah lagi jika rambut itu tertutup melebihi 6 ke 12 jam sehari. Sesungguhnya, rambut ialah mahkota berharga bagi wanita. Rambut yang sihat menyerlahkan kecantikan semula jadi seseorang wanita itu.

Jika diabaikan, rambut akan mudah rosak dan berkelemumur. Maka, apakah yang harus anda lakukan?



JENIS RAMBUT
Adakah rambut anda jenis normal, berminyak atau kering? Ketigatiganya mudah mengalami masalah kelemumur. Setelah anda mengenali jenis rambut, pilih syampu yang sesuai. Rambut yang berminyak perlu menggunakan syampu yang berasaskan oil control. Rambut kering boleh dilengkapi dengan perapi untuk melembutkan rambut. Sekiranya anda gemar mewarna, mengeriting atau rebonding, anda memerlukan perawatan yang khusus untuk rambut.

KENALI AKTIVITI
Adakah anda seorang yang aktif atau sering terdedah dengan persekitaran? Dengan mengenali dan menyedari aktiviti anda sehari-hari, anda boleh memilih jenis hijab yang sesuai serta mudah menyerap peluh dengan baik. Jika tidak, ia akan memberi kesan kepada kesihatan rambut anda.


MENCUCI RAMBUT
Menurut pakar, rutin terbaik untuk mencuci rambut ialah sekali dalam 2-3 hari. Pilihlah syampu yang sesuai dengan rambut anda. Tidak seharusnya mahal, asalkan ia sesuai dengan anda seterusnya menjadikan kulit kepala terasa bersih, segar, lembut, lurus, lebat, bebas kelemumur serta terlindung daripada sinaran UV.

MANJAKAN RAMBUT
Sekali sekala berikan perawatan ekstra buat rambut anda. Contohnya menggunakan creambath di salun pilihan. Namun, jika anda seorang yang sibuk dan tiada masa untuk ke salun, usah bimbang. Kini, terdapat pelbagai syampu yang lengkap dengan rangkaian perawatannya, bermula dari syampu hinggalah ke perapi. Setelah mencuci rambut, sapukan perapi kemudian bersihkan dengan air bersih. Gunakan syampu dan perapi secara berasingan kerana fungsi syampu ialah membersihkan helaian rambut dan kulit kepala. Sementara perapi untuk melembutkan saja.

TERDEDAH KOTORAN
Rambut boleh menjadi punca kepada pelbagai kuman dan debu. Sekiranya rambut anda tidak bersih kerana kurang penjagaan, elakkan menyentuh bahagian tubuh yang lain seperti wajah terutama ketika basah. Kuman dari rambut yang anda sentuh akan mudah dipindahkan ke wajah. lebih parah jika kulit wajah anda jenis berminyak dan berjerawat. Maka, jagalah kebersihan rambut anda sebaik-baiknya. Cara lain ialah gantikan sarung bantal secara kerap kerana segala kotoran yang terlekat pada sarung bantal akan menyebabkan jerawat.

PILIH TUDUNG
Pastikan anda memilih tudung yang ‘mesra’ dengan rambut serta sesuai dengan keadaan. Contohnya ialah jika ke tempat kerja, pilihlah yang berfabrik lembut dan tipis bagi memudahkan peredaran udara keluar masuk.

GANTI TUDUNG SETIAP HARI
Pastikan anda tidak mengulangi tudung yang sama secara kerap. Ini kerana tudung tersebut pastinya sudah terserap peluh dan kotoran sewaktu anda memakainya. Disarankan supaya anda menganginkan terlebih dahulu tudung yang telah anda pakai sebelum mencucinya. Namun, jika anda memakainya dalam tempoh yang singkat contohnya ke kedai berhampiran, ia bolehlah digantung dan dipakai kembali. Namun, elakkan memakainya untuk ke tempat kerja.

DAPATKAN NASIHAT PAKAR
Anda boleh mendapatkan nasihat pakar farmasi untuk syampu yang sesuai. Perlu diingat, masalah rambut kadangkala bukan disebabkan cara anda menjaga dan mengendalikanya. Mungkin disebabkan oleh penyakit lain. Masalah ini tidak akan selesai dengan sendiri jika anda tidak mencari penyelesaiannya.

ELAK GOSOK RAMBUT TERLALU KASAR
Semasa anda mengeringkan rambut dengan tuala, lurutkan tuala secara lembut dan perlahan-lahan dari atas hingga ke hujung rambut. Lakukan berulang kali dan biarkan kering sendiri. Jangan gosok rambut dengan kasar.

SIKAT RAMBUT APABILA PERLU SAHAJA
Namun, jangan biarkan sampai tidak terurus. Jika selalu sangat menyikat rambut, menyebabkan kulit kepala menjadi panas dan menghasilkan minyak berlebihan.

ELAK GUNA PENGERING RAMBUT
Supaya rambut tak mudah kusam. Jika anda tetap memilih pengering rambut, gunakan pada suhu tinggi kerana suhu rendah akan mengambil masa lebih lama untuk mengeringkan rambut. Risikonya, rambut lebih mudah rosak.

No comments: